Friday, March 20, 2009

Penjelasan KJ.

Penjelasan Mengenai Keputusan Lembaga Disiplin UMNO

Saya memanjatkan syukur terhadap Allah SWT kerana
saya masih boleh meneruskan perjuangan saya dalam pertandingan
erebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, walaupun telah diputuskan bersalah dan diberi amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO, iaitu peruntukkan mengenai Anggapan Kebersalahan Pihak Ketiga.

Di bawah Perlembagaan UMNO, mana-mana ahli yang melanggar peruntukan Perlembagaan atau Tataetika Ahli UMNO boleh dikenakan pelbagai jenis hukuman, antara lainnya, diberi amaran; digantung hak-hak dalam parti; dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri atau Umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi atau dipecat daripada parti.

Seperti yang telah saya nyatakan kepada Lembaga Disiplin, saya tiada kena-mengena dan tiada pengetahuan langsung mengenai perbuatan yang didakwa dilakukan oleh mereka yang dikatakan menjadi ejen saya.
Pihak Lembaga Disiplin juga, dalam sidang akhbar semalam, mengakui tiada perkaitan jelas antara kesalahan yang dilakukan oleh mereka dengan saya.
Lembaga Disiplin juga mendapati sukar untuk mengaitkan ejen tersebut dengan saya.
Kaitan kesalahan mereka yang didakwa menjadi ejen saya dengan saya juga adalah amat lemah.

Atas sebab-sebab seperti yang telah dinyatakan oleh Lembaga Disiplin inilah, saya masih lagi dibenarkan untuk bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini.
Namun begitu, saya tetap dengan kenyataan saya kepada Lembaga Disiplin – bahawa saya sememangnya tidak bersalah.

Saya juga berharap agar apa yang berlaku ini bukanlah didorong oleh apa-apa agenda politik mana-mana pihak berkepentingan untuk memburukkan nama saya atau menggagalkan perjalanan karier politik saya, terutamanya setelah saya mengumumkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Kredit to : KJ Terchenta

No comments: